Ketengahkan nilai kemanusiaan, solidariti melalui pendermaan darah




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 Jun. - Setiap 14 Jun, negara-negara di seluruh dunia menyambut Hari Penderma Darah Sedunia sebagai satu inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bekalan darah dan produk darah yang selamat, berkualiti dan mencukupi bagi keperluan rawatan pesakit.


Sambutan ini juga merupakan kesempatan untuk memberikan penghargaan kepada para penderma darah sukarela yang telah tampil menyumbangkan darah tanpa mengharapkan sebarang balasan demi membantu menyelamatkan nyawa pesakit.


Tema sambutan Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah 'One Drop of Humanity. Give Blood. Save Lives.' atau 'Setitis Kemanusiaan. Derma Darah. Selamatkan Nyawa'.


Tema ini memartabatkan nilai kemanusiaan sebagai teras dalam setiap pendermaan darah.


Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2026.


Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya berkata, pendermaan darah bukan sekadar satu prosedur perubatan, malah merupakan aktiviti kemanusiaan yang melambangkan solidariti, merasa belas ihsan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat.


Setiap titisan darah yang didermakan memberikan harapan baharu dan menjadi talian hayat kepada mereka yang sangat memerlukan, ujar Yang Berhormat.


“Kempen tahun ini juga menekankan bahawa walaupun kemajuan dalam bidang sains, teknologi makmal, saringan pendermaan darah dan sistem keselamatan transfusi telah meningkatkan tahap keselamatan darah secara ketara, bekalan darah yang selamat masih bergantung kepada kesediaan individu untuk menderma darah secara sukarela dan berkala.


“Namun demikian, banyak negara masih berdepan cabaran kekurangan bekalan darah dan ketidaksamaan akses kepada darah serta produk darah yang selamat," terang Yang Berhormat lagi.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan objektif khusus sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada tahun ini adalah untuk menggalakkan pertumbuhan berterusan dalam kalangan penderma darah sukarela tanpa imbalan yang menderma secara aktif, tetap dan berkala; meningkatkan kesedaran orang awam mengenai impak pendermaan darah dan plasma dalam menyelamatkan nyawa; menghargai sumbangan para penderma darah serta mempromosikan nilai-nilai kemanusiaan dan solidariti; menggalakkan agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memperkukuhkan serta melabur dalam program darah kebangsaan; dan menyokong usaha mencapai akses sejagat kepada transfusi darah yang selamat, berkualiti dan tepat pada masanya bagi semua yang memerlukan.


“Alhamdulillah, usaha-usaha dan kempen pendermaan darah terus dilaksanakan secara aktif dan berterusan di Negara Brunei Darussalam.


“Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan NGO dalam mengendalikan kempen pendermaan darah bergerak di seluruh daerah," jelas Yang Berhormat.


Pada tahun 2025, Yang Berhormat mengongsikan bahawa Pusat Pendermaan Darah telah berjaya mencatat sebanyak 16,807 kutipan darah yang disumbangkan oleh 13,785 penderma darah, termasuk 3,289 penderma baharu yang berdaftar.


Pencapaian berkenaan, terang Yang Berhormat, menunjukkan komitmen berterusan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.


Kementerian Kesihatan juga akan terus memperluaskan usaha pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan pendermaan darah secara sukarela dan berkala, tegas Yang Berhormat.


“Penglibatan golongan belia amatlah penting dalam memastikan kesinambungan kumpulan penderma darah yang mampan bagi memenuhi keperluan pesakit pada masa akan datang.


“Oleh itu, semua lapisan masyarakat adalah diseru untuk sama-sama memainkan peranan dalam membudayakan amalan pendermaan darah sebagai satu tanggungjawab sosial dan amalan kebajikan yang mulia.


“Manakala, agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan NGO adalah juga diseru untuk sama-sama menganjurkan kempen-kempen pendermaan darah demi membantu mengekalkan stok bekalan darah di tahap yang sihat di negara ini.


“Saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma darah di Negara Brunei Darussalam atas keikhlasan dan pengorbanan mereka dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang memerlukan," ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga memberikan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan aktiviti dan kempen pendermaan darah selama ini, termasuk agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan berseragam, sektor swasta, NGO serta individu-individu perseorangan.


“Tidak lupa juga penghargaan dan tahniah kepada seluruh pegawai dan kakitangan di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta Tabung-tabung Darah di Hospital Suri Seri Begawan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam atas dedikasi dan usaha berterusan mereka dalam memastikan bekalan darah sentiasa selamat, mencukupi dan berkualiti," jelas Yang Berhormat lagi.


Yang Berhormat kemudiannya menjelaskan setiap unit darah yang didermakan berpotensi untuk menyelamatkan sehingga tiga nyawa pesakit.


“Semoga segala usaha dan amalan baik para penderma darah akan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua.


“Sehubungan dengan ini, saya juga ingin menyeru mereka yang masih belum pernah menderma darah agar tampil bersama menyertai usaha murni ini demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat secara bersama.


“Akhir sekali, marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan dan kepedulian sosial dalam memastikan bekalan darah negara terus mencukupi, selamat dan mudah diakses oleh semua pesakit yang memerlukannya pada setiap masa," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.


Orang ramai bolehlah mengikuti Facebook: 'bloodbankripas.brunei' atau Instagram '@bloodbank_ripas' bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen Pusat Pendermaan Darah. Untuk membuat tempahan slot pendermaan darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi BloodKad atau menghubungi talian +673 2242424 sambungan 5745 / 6001 atau +673 7440267 / 7440277 (Hotline/Whatsapp).


Close